Oleh : M.I.A./Imran Haaz
Bismillahir Rahmanir Raheem..
Berikut merupakan sebuah kisah yang dipetik
dari Tafsir al Azhar, Prof. Dr. HAMKA.
Suatu ketika, pada abad ke sembilan belas
ketika Acheh berperang dengan Belanda. Zentgraf, seorang pengarang terkenal
telah menceritakan di dalam bukunya yang diberikan judul 'Aceh'.
Katanya, "Pada suatu hari hari, pergilah
soldadu-soldadu Belanda mengadakan rondaan ke suatu kampung, mencari
kalau-kalau ada 'Muslimin' bersembunyi dikampung tersebut. (Orang-orang Aceh,
pada ketika itu menggelarkan pejuang-pejuang pembela agama dengan tanahair
dengan gelaran 'Muslimin', bagi yang tidak pernah berjuang dan masih belum
sempat berjuang, kehormatan dalam pemberian gelaran 'Muslimin' tersebut tidak
akan diberikan.)
Maka, sampailah patroli Belanda tersebut ke
dalm kampung. Di dapatinya kampung tersebut lengang sahaja. Terutamanya
orang-orang lelaki tidak seorang pun kelihatan. Yang bertemu sekali sekala
hanyalah orang-orang perempuan di dalam kampung tersebut. Maka sampailah
patroli itu ke muka sebuah rumah. Didapati seorang perempuan sedang menumbuk
padi. Patroli yang melalui kawasan tersebut tidak dipedulikannya. Dia tidak
menunjukkan sebarang rasa takut, malahan diwajahnya terbayang kebencian.
Komandan patroli tersebut lalu mendekati dia dan bertanya : "Adakah di
sini orang lelaki?"
Perempuan itu menjawab : "Tidak
ada!" Dia terus menumbuk padinya. Sikap wanita yang dianggap sebagai
angkuh dan penuh benci itu menimbulkan curiga di dalam ahti Komandan Ptroli
tersebut. Lalu diarahkannya supaya orang-orangnya naik ke rumah dan mula
menggeledah. Tiba-tiba dari bawah tempat tidur, dapat dikeluarkan seorang
lelaki yang bersembunyi di situ. Lelaki itu ditarik keluar dan dibawa kehadapan
perempuan tersebut. Dia langsung ditanya: "Mengapa kamu bohong? Kamu
katakan tiada lelaki di sini, padahal kamu sembunyikan di bawah tempat
tidur?"
Perempuan itu kemudian menjawab dengan gagahnya.
"Aku tidak berbohong! Benar-benar tidak ada lagiyang bernama lelaki di
dalam kampung ini. Semuanya telah pergi menjadi Muslimin (pejuang di jalan
Allah bagi membela agama dan tanahair).
"Habis tu, ini siapa? Bukankah ini
laki-laki?"
Perempuan itu dengan muka penuh benci dan
marah, dengan pandangan menghina kepada saudara kandungnya yang bersembunyi di
bawah tempat tidur itu menjawab : "Ini bukan lelaki. Yang laki-laki telah
pergi (berjuang)?"
Dengan semangat demikian, Aceh bertahan lebih
dari 40 tahun.
Cerita tersebut diceritakan Prof. Dr. Hamka
ketika merujuk situasi yang hampir sama dengan apa yang berlaku ketika ayat 86
dan 87 surah at Taubah diwahyukan.
Dan apabila diturunkan suatu Surah (yang
menyeru), bahawa hendaklah mereka beriman kepada Allah dan berjihad
bersama-sama RasulNya, meminta izinlah kepada engkau orang-orang yang mampu
dari mereka, dan mereka katakan : "Biarkanlah kami tinggal bersama-sama
orang yang tinggal."
Merekalebih senang bahawa ada mereka
bersama-sama perempuan-perempuan yang tinggal., dan telah dicap atas hati
mereka. Maka tidaklah mereka mengerti.
Aceh mendapat kekuatan kerana lelaki-lelaki
dan wanita-wanita muslim mereka berganding bahu dalam satu semangat yang tinggi
dan kuat untuk mempertahankan agama dan tanahair. Mereka menyintai
lelaki-lelaki mereka, tetapi cinta mereka kepada lelaki-lelaki mereka
menyebabkan mereka berasa jijik sekiranya lelaki-lelaki yang mereka cintai
tidak segera mengambil tanggungjawab untuk menyahut panggilan perjuangan bagi
mempertahankan agama yang diredhai Allah. Mereka sanggup berpisah kerana Allah.
Wanita-wanita ini berasa jijik sekiranya lelaki-lelaki yang mereka cintai tidak
menjalankan tanggungjawab mereka sebagai lelaki. Mereka memaksa lelaki-lelaki
yang mereka cintai keluar di jalan Allah kerana mereka tidak mahu menjadikan
diri mereka sebagai satu alasan yang digunakan lelaki-lelaki bacul, untuk
menjauhkan diri dari menjalankan segala perintah-perintah Allah.
Tanpa wanita-wanita besi sebegini, umat itu
tidak cukup kuat. Mereka mudah tumpas. Mereka mudah dikalahkan. Wanita-wanita
besi sebegini diperlukan untuk membina generasi anak-anak muda yang baru. Tidak
memanjakan anak-anak dengan cara yang tidak kena tempat. Tidak terlalu
memanjakan suami di dalam cara yang tidak kena tempat. Wanita-wanita besi ini,
seharusnya menjadi pemangkin kepada kekuatan insan-insan lelaki disekeliling
mereka untuk maju dan bertegas di dalam kesungguhan untuk menjauhi segala
perbuatan yang dilarang dan melakukan segala perkara yang disuruh Allah.
Wahai wanita, ketika melihat kami lemah,
paksakan dan tolakkanlah kami ke hadapan di jalan-jalan yang diredhai Allah dan
jangan biarkan kami pulang sebagai lelaki-lelaki yang bacul. Jangan menyimpan
dan menyembunyikan kami di rumah sepertimana lelaki bacul di dalam kisah di
atas. Tidak ada guna menjadi lelaki ketika mana agama, bangsa dan tanahairnya
menghadapi ancaman, segera dia bergegas bersembunyi di bawah katil.
Bentukkan generasi baru yang masih kecil ini
dengan jiwa seorang pejuang. Bentukkan dia supaya menghormati wanita dan
bentukkan dia dengan satu bentuk pemikiran yang mencengkam segenap pembuluh
darah dan jiwanya bahawa dia itu hamba Allah, dan hamba-hamba Allah yang
terbaik itu pula, mereka akan melaksanakan perintah Tuhan yang menciptakan
serta memberikannya kehidupan. Tiada lelaki yang dapat berdiri gagah tanpa
seorang wanita menyokong pembentukan peribadinya. Wanita itu boleh jadi ibu,
kakak, adik, isteri dan mungkin juga anak. Dan jangan pula wanita itu pula
menjadi sebab kemusnahan orang-orang lelaki disekeliling mereka. Sejarah telah
membuktikan, pemimpin-pemimpin hebat dibentuk oleh wanita-wanita hebat yang
memainkan peranan disekeling mereka. Sejarah juga membuktikan, sekian banyak
tamadun hancur dan musnah juga kerana tindakan wanita-wanita disekeliling
mereka.
Saya akhiri penulisan ini dengan kata-kata
Muhammad Ali Jinnah, Pengasas negara Islam Pakistan.
No nation can rise to the height of glory unless your women are side by
side with you.
Rujukan :
1.
Prof. Dr. HAMKA, Tafsir ayat 86 hingga 87 surah at Taubah, Tafsir al Azhar, Juzu’ 10,11 & 12, PT Pustaka Panjimas, Jakarta, m/s 316 – 318.